Sememangnya telah
ditetapkan oleh Allah SWT yang maha mencipta, manusia akan semakin tua. Umur
akan semakin meningkat dari hari ke hari, tahun ke tahun. Tidak akan ada yang
mampu untuk melawan fitrah dan lumrah yang ditetapkan olehNya. Manusia yang
lupa akan kenapa dia masih lagi bernafas di atas muka bumi ini sering hanyut
dan tenggelam dibawa oleh arus api yang kini semakin membakar-bakar segala apa
yang wujud di dunia ini. Mereka tidak sedar akan api yang sedang membakar diri
mereka secara senyap senyap itu dan dirasakan api tersebut sangat sejuk.
Semuanya hampir lemas dibawa arus yang menuju ke pintu neraka. Kenapa manusia
tidak sedar akan semua ini?
Aku sedar, aku juga
hanyut. Aku juga dibakar. Aku juga terkial kial mencari arah mana yang harus
aku tuju. Aku juga tercari cari pintu mana yang harus aku masuk. Dan secara
sejujurnya aku juga keliru, tangan siapa yang harus aku pegang dan berpimpin
agar aku tidak tersalah melangkah ke alam yang penuh dengan api hitam yang membakar.
Aku mengaku. Aku hanya
seorang lelaki biasa yang lemah. Aku mudah terjatuh. Aku senang diperdaya dan
aku senang percaya. Aku cepat terasa, aku cepat sedih dan aku cepat kasihan.
Aku lemah kerana aku tidak sempurna. Aku mudah terjatuh kerana aku masih belum
habis belajar tentang erti hidup yang sebenar. Aku senang diperdaya dan aku
senang percaya kerana orang orang suka meyakinkan aku untuk belajar mempercayai,
dan disaat aku cuba untuk mempercayai, mereka akan mengaburi dan menusuk
fikiran aku dengan berbagai-bagai duri yang aku tidak bisa rasa sakitnya kerana
duri itu sangat halus. Tidak mampu dirasa dengan hati dan tidak mampu dilihat
dengan mata. Aku keliru dan aku sentiasa keliru akan siapa sebenarnya manusia
yang betul-betul manusia dan siapa sebenarnya iblis yang bertopengkan manusia.
Kadang kadang aku teringin untuk memiliki kuasa yang bisa aku mengetahui
tentang isi hati dan tahap ketulusan setiap orang disekeliling aku.
Aku penat. Sangat
penat. Aku sedih, tersangat sedih. Aku kecewa, terlalu kecewa. Tapi itu tidak
bermakna aku menyerah kalah. Tidak bermakna aku lemah dan aku akan terus lemah.
Tidak bermakna aku yang ditindas akan terus ditindas. Tidak bermakna duri yang
telah kau cucuk itu akan selamanya tercucuk. Aku masih hidup, aku masih punya
hati, jantung aku masih berdenyut, akal aku masih berfungsi, mata aku masih
mampu melihat dengan jelas. Tidak akan selamanya aku kalah. Aku akan terus
mencuba dan mencari pintu untuk keluar dari api hitam yang telah lama kau bina.
Yang selamat tidak akan
selamanya selamat. Yang diatas tidak akan selamanya diatas. Aku sedar aku
dibawah, tapi aku percaya tidak akan selamanya aku dibawah.

No comments:
Post a Comment